Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (Masti), Raja Shah Erman Raja Ariffin berpendapat, sewajarnya politik difahami sebagai salah satu elemen pembinaan sesebuah negara.

“Dalam erti kata lain, politik ini yang menentukan terbinanya kemudahan-kemudahan dan bangunan untuk rakyat malah politik ini juga pastinya menjamin keharmonian rakyat dalam sebuah negara yang merdeka.

“Justeru, berpolitik ini adalah peranan dan tanggungjawab semua rakyat Malaysia termasuk kami, pentadbir-pentadbir universiti awam agar ia dapat diterjemahkan seterusnya mewakili suara-suara pentadbir yang ingin kebajikan dan masa depan didengari, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam (UA) peringkat Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dengan gimik sambutan dirasmikan Naib Canselor Unimap, Prof Ir. Dr. R. Badlishah Ahmad.

Tambah Raja Shah Erman, apabila berbicara mengenai politik, ramai yang menyempitkan pemikiran mereka ke arah parti politik semata-mata sedangkan ia sebenarnya mempunyai maksud yang lebih luas dalam urusan kehidupan.

“Pentadbir universiti awam adalah kumpulan yang tidak dapat dinafikan sumbangannya dalam menggerakkan hala tuju sesebuah negara, khasnya universiti selari dengan evolusi sistem pendidikan merentasi Revolusi Industri 4.0,” katanya yang juga Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Potensi) Unimap.

Untuk rekod, 20 Ogos setiap tahun menjadi tarikh bererti buat pentadbir universiti apabila kumpulan itu bukan sahaja menyambut bulan kebangsaan, malah turut menyambut Hari Pentadbir Universiti Awam (UA) seluruh negara.

Tidak ketinggalan Potensi Unimap yang meraikan hari istimewa berkenaan sempena sesi Perjumpaan Bersama Pengurusan Tertinggi, di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, baru-baru ini.

Menurut Raja Shah Erman, tahun ini adalah kali ke-4 sambutan Hari Pentadbir UA walaupun sebenarnya jika dihitung dari usia Masti adalah bermula sejak 2001.

Katanya, pelbagai intipati dan inisiatif bakal dan akan dilaksanakan demi memartabatkan pentadbir universiti malah menerusi Masti yang diterajuinya, majlis itu menetapkan Konvensyen Pentadbir diadakan dua tahun sekali.

“Kali pertama ialah pada 2016 diadakan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Nilai, Negeri Sembilan, serta pada 2018 di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kuching, Sarawak manakala tahun hadapan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT),” kata beliau.

Ujarnya, setiap tahun juga setiap Persatuan Pentadbir di UA masing-masing turut mengadakan sambutan tersendiri antaranya Sukan Pentadbir di Unimap dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Syarahan Eksekutif di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Di Unimap, bagi memeriahkan lagi sambutan ini, Potensi menganjurkan Pertandingan Mewarna dengan anak-anak komuniti Kampung Kurong Tengar, Kuala Perlis sempena Program Sehari Unimap-Media 2019 anjuran Unit Komunikasi Korporat Unimap dan Kelab Media Perlis (Kemps).

“Selain itu turut diadakan Bicara Hidayah bersama Nur Rieya Ali Abdullah dan selebriti Adam Corrie, Syarahan Eksekutif bersama Dr, Zahrah Mokhtar, senamrobik dan sukan bersama warga universiti, Coffee Talk serta Pertandingan Boling,” katanya.

Ditanya mengenai harapan Raja Shah Erman terhadap semua pentadbir UA, beliau yang dilantik sebagai Presiden Masti pada 27 Jun lalu sehingga 2021 berkata, pentadbir mesti menyediakan diri agar kompetitif dan mampu menyahut cabaran baharu yang lebih terbuka.

“Pendekatan kepimpinan berdaya saing menerusi persekitaran tidak menentu (Volatile), ketidakpastian (Uncertainty), kerumitan (Complexity) dan kekaburan (Ambiguity) - VUCA, perlu diterapkan demi kelangsungan kepimpinan Pentadbir Universiti Awam bermula dari sekarang.

“Begitu juga jika para pentadbir universiti ingin terus bergerak seiring dengan profesional yang lain, elemen berteraskan kepada 3R iaitu relevant (berkaitan), reffered (dirujuk) dan respect (dihormati) perlu dimiliki dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai Pentadbir,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE