Khair Mohamad Yusof

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, keputusan dilakukan setelah mengambil kira semua keadaan dan kesukaran semua pihak dalam menghadapi bencana banjir.

Katanya, pasukan keselamatan, pegawai dan kakitangan daripada agensi kerajaan lain yang bertungkus-lumus melaksanakan operasi bantuan memerlukan masa untuk persediaan persekolahan anak-anak mereka apabila operasi tersebut ditamatkan.

“Kami juga ingin menjelaskan bahawa penangguhan ini tidak mengganggu sistem persekolahan bagi tahun 2015, termasuk bilangan hari persekolahan seperti yang telah ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya 190 hari setahun.

“Penangguhan tersebut juga melibatkan semua sekolah di seluruh negara termasuk sekolah-sekolah swasta dan negeri yang berdaftar dengan kementerian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tarikh baharu permulaan sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad) dan bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).

Mengulas lanjut, Khair berkata, kementerian ingin memohon kerjasama daripada sekolah-sekolah di bawah pendaftaran kerajaan negeri dan di bawah agensi-agensi lain agar dapat diselaraskan permulaan sesi persekolahan seperti diumumkan agar tidak menimbulkan kekeliruan.

“Semua pengetua dan guru besar diminta akur dengan keputusan ini dan tidak mengadakan apa-apa program melibatkan murid, guru dan ibu bapa seperti hari pendaftaran murid baharu termasuk apa-apa taklimat dalam tempoh penangguhan tersebut, kecuali operasi gotong-royong pembersihan sekolah yang terlibat dengan banjir.

“Namun, bagi sekolah-sekolah yang tidak terlibat dengan banjir, pihak pentadbiran sekolah berkenaan boleh meneruskan kerja-kerja pentadbiran biasa tanpa perlu melibatkan pihak-pihak yang dise­butkan,” katanya.