Perkemba­ngan itu didorong oleh trans­formasi yang dilakukan oleh pihak kerajaan khususnya dalam menambah baik sektor perkhidmatan awam negara, bukti komitmen kerajaan mele­takkan penjawat awam sebagai keutamaan.

Ini dibuktikan dengan pendekatan dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang mengumumkan pelbagai kemudahan dan insentif kepada penjawat awam khususnya dalam soal kebajikan mereka.

Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa, usaha itu dapat dilihat apabila kerajaan telah meluluskan 65,000 jawatan baharu untuk perkhid­matan awam pada tahun ini dalam mendepani evolusi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya, pertambahan penjawat awam itu dibuat atas permintaan mendesak daripada beberapa jabatan yang memerlukan penambahan kakitangan di tempat mereka.

“Antara jabatan itu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pendidikan serta banyak lagi agensi yang sangat kritikal memerlukan penambahan penjawat awam.

“Penambahan penjawat awam itu sekali gus menolak dakwaan bahawa kerajaan akan mengecilkan saiz per­khidmatan awam di negara ini,” katanya selepas Majlis Amanat KSN Bersama Warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Angkasapuri di sini, baru-baru ini.

Ali berkata, sebagai menghargai jasa, pengorbanan dan penat lelah penjawat awam sebagai kawan setia kerajaan, dua projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Miri dan Ku­ching, Sarawak telah dibangunkan.

“Justeru, saya menyeru semua warga KKMM agar merebut peluang untuk memohon kediaman tersebut.

“Dalam masa yang sama, sebagai nadi dan inspirasi perkhid­matan awam negara, diharapkan semua penjawat awam akan terus berusaha meningkatkan prestasi kerja dengan cemerlang dan amanah dalam meneruskan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setia­usaha KKMM, Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata, KKMM dan jabatan serta agensi di bawahnya sedang melaksanakan transformasi berlandaskan intipati Blueprint Komunikasi dan Multimedia (2018-2025).

“Dengan ‘tagline’ Digitise and Humanise, kami berharap dapat mencapai matlamat untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang terhubung, berinformasi dan digital.

“Penekanan usaha kami ke arah itu adalah dengan meningkatkan perhubungan, memperkukuhkan keyakinan, menyebarluaskan libat urus, melonjak inovasi, menyema­rakkan kreativiti dan memperkasa bakat,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh tiga tahun lalu, pelbagai perubahan telah dilaksanakan bagi memastikan kementerian sentiasa berada di landasan yang tepat, mengamalkan tadbir urus yang baik dan sentiasa memberikan perkhidmatan yang cepat, tepat dan berkua­liti kepada masyarakat.