Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 19 Ogos lalu, peniaga berusia 48 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri dari Mahkamah Terengganu.

"Mangsa diberitahu namanya disalahgunakan individu lain dan mempunyai tunggakan kad kredit RM10,000. Talian kemudian disambungkan kepada seorang 'anggota polis' yang memaklumkan mangsa terlibat dengan penggubahan wang haram dan dadah.

"Selepas itu, mangsa diminta membuat rayuan kepada pegawai polis dikenali sebagai Datuk Wong. Datuk Wong meminta mangsa membuat laporan polis secara dalam talian dan memindahkan wang di dalam akaun bank bagi tujuan pemantauan oleh Bank Negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, pada hari yang sama, mangsa telah memasukkan wang ke dalam akaun bank sebanyak RM40,000.

"Mangsa diminta memasukkan lagi wang sebanyak RM5,000 namun mangsa enggan berbuat demikian dan membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kerana merasakan dirinya telah ditipu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya. - UTUSAN ONLINE