Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, peruncit dan peniaga perlu memahami belanjawan yang telah diberikan kepada rak­yat kerana mereka adalah kumpulan barisan depan yang akan berhadapan dengan pengguna.

“Dengan adanya ilmu yang cukup serta pemahaman jelas mengenai apa yang dibentangkan dalam Bajet 2018 itu, golongan peniaga secara tidak langsung boleh menjelaskan kepada pembeli mengenai pelbagai faedah disediakan kerajaan termasuk program pendidikan, skim penabungan anak, kemudahan pinjaman, peruntukan dan sebagainya yang berkaitan.

“Dalam masa sama, golongan ini juga perlu disuntik ilmu baharu supaya mereka memahami selok-belok sebagai seorang peniaga. Ini kerana, walaupun mereka sudah mempunyai pe­ngalaman tetapi ilmu ini perniagaan perlu dituntut dari semasa ke semasa bagi menambah baik perniagaan selain menepati kehendak semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas me­rasmikan Kursus Keusahawanan Peruncitan FAMA Zon Selatan 2017 di Bukit Katil, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA, Ab. Razak Ab. Majid; Pengarah FAMA Melaka, Mohd. Nawi Othman; Pengarah FAMA Johor, Zainal Abidin Yang Razalli dan Pengarah FAMA Ne­geri Sembilan, Muslim Manja.

Jelas Badruddin, ilmu me­ngenai selok belok perniagaan ini adalah topik penting yang harus diberi penekanan kepada kumpulan peniaga agar mereka dapat memenuhi kehendak pelanggan selain memahami hasrat kerajaan yang mahu mutu perkhidmatan sentiasa di tahap terbaik.

“Perniagaan masa kini sema­kin mencabar dengan wujudnya pelbagai teknologi canggih, pe­laksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan sebagainya yang tidak boleh dipandang mudah bagi membolehkan mereka bersaing secara sihat.

“Ini adalah perkara yang perlu kita sentiasa kemas kini kepada peniaga di samping membantu mereka dari segi penambahbaikan kemudahan seperti membaiki premis perniagaan yang rosak, susun atur dalaman serta pelbagai lagi perkara penting,” ujarnya.