Kegagalan berbuat demikian mengakibatkan mereka berdepan dengan tindakan undang-undang dan dibawa ke mahkamah.

Ketua Pegawai penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri, Azizan Abdullah berkata, jika didapati bersalah, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Manakala,bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Sementara itu, sekiranya mereka merupakan pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di 73 premis yang menjual tong air berikutan gangguan bekalan air di Lembah Klang bermula esok sehingga Sabtu ini.

Jelasnya, pemeriksaan tersebut telah dijalankan bermula semalam dan hasil pemeriksaan mendapati peniaga meletakkan harga terhadap tong air yang dipamerkan untuk jualan.

“Setakat ini, tiada unsur kenaikan harga berhubung penjualan barangan tersebut. Kita juga tidak menerima sebarang aduan melibatkan harga tong air.

“Kita akan terus menjalankan pemeriksaan sehingga gangguan bekalan air di negeri ini selesai,” ujarnya.

Gangguan bekalan air di Selangor berlaku berikutan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air (LRA ) SSP2 pada 24 April ini.- UTUSAN ONLINE