Dalam lawatan selama sejam itu, Dr Mahathir dan isteri turut berkesempatan melawat dan beramah mesra bersama penghuni rumah perlindungan itu dan menyampaikan sumbangan berupa hamper dan wang tunai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Turut hadir mengiringi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya.

Seorang daripada penghuni, Mohd Firdaus Mohd Azmi, 15, berkata dia tidak lena tidur sejak malam tadi menantikan kedatangan Perdana Menteri kerana sebelum ini sekadar melihat wajah negarawan itu di kaca televisyen.


Katanya peluang berjumpa dan menerima hadiah yang disampaikan sendiri oleh pemimpin tertinggi negara itu akan sentiasa tersemat di ingatan dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila.


"Saya tidur awal malam tadi kerana nak bangun 5 pagi untuk sambut kedatangan Perdana Menteri. Rasa sungguh puas hati dan sangat gembira kerana berpeluang menatap wajah beliau secara bersemuka dan terpilih untuk naik ke pentas menerima hadiah daripada beliau sendiri," katanya ketika ditemui pemberita.


Rakannya, Mohamad Hadi Abdullah, 13, berkata dia bersama rakan-rakan lain sangat gembira apabila dimaklumkan bakal menerima pelawat daripada rombongan yang diketuai pemimpin tertinggi negara.


Katanya tidak semua orang berpeluang bertemu dengan pemimpin nombor satu negara yang selama ini hanya dapat dilihat di kaca televisyen dan surat khabar.


"Kehadiran beliau (Tun Dr Mahathir) sangat bererti bagi kami penghuni di sini. Sungguh tak sangka beliau sudi datang melawat kami di sini.


"Meskipun beliau sudah berusia, wajah beliau dilihat lebih kacak bila saya jumpa beliau sendiri daripada di dalam televisyen. Apabila besar saya juga nak jadi macam Tun Dr Mahathir yang kuat dan bersemangat," katanya.


Dibuka pada 1984, rumah perlindungan yang dikelolakan oleh JKM itu bertujuan memberi perkhidmatan penjagaan dan perlindungan kepada golongan kurang upaya dan masalah pembelajaran berumur 0 hingga 14 tahun. - BERNAMA