MOHAMED KHALED NORDIN
MOHAMED KHALED NORDIN 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan tersebut bukanlah satu keputusan yang objektif dan baik.

"Pertama, dari segi sandaran dan justifikasi, Kerajaan tidak pun membentangkan kepada masyarakat sebarang kajian komprehensif yang menganalisis apakah keperluan mendesak tindakan sedemikian, nilai tambah yang akan diperolehi dari segi kecekapan pengurusan, keberkesanan pengajian serta pulangan kepada pelajar dan masyarakat setempat.

"Tanpa kajian yang komprehensif seperti ini, keputusan tersebut bersifat sangat politikal, semberono dan tidak profesional. Ia mengundang tanda tanya yang besar dalam kalangan pelajar, para ibu bapa, tenaga pendidik, pengurusan universiti, pihak industri dan masyarakat awam.Lebih penting, apakah kemudaratan yang akan berlaku sekiranya penggabungan ini tidak dilakukan?

"Kedua, rujukan kepada Universiti of Manchester dan UMIST adalah tidak tepat. Ini kerana, dalam kes tersebut ia merupakan satu tindakan mengambil alih berbanding penggabungan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kabinet yang telah bersetuju secara prinsip dengan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Penggabungan itu dilihat sebagai salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi terutamanya dalam memantapkan keupayaan universiti untuk mempertingkat kedudukan sosioekonomi.

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan memberitahu, ia selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 - 2025 (Pendidikan Tinggi).

Mohamed Khaled berkata, sekali pun Kerajaan melihatnya sebagai penggabungan, adalah penting untuk Kerajaan menganalisis faktor-faktor yang menyokong kewajaran penggabungan tersebut dan membandingkannya dengan kes UnisZA dan UMT. Adakah wujud persamaan, keperluan dan faktor-faktor yang akan menjayakannya.

"Ketiga, kita sendiri maklum bahawa UnisZA dan UMT mempunyai fokus dan kebitaraan yang bukan sahaja tersendiri tetapi saling berbeza. Jadi, jika kerajaan berkeras menggabungkan kedua-duanya, fokus dan kebitaraan institusi yang mana satukah yang akan diangkat? Adakah UnisZA akan menjadi lebih seperti UMT atau sebaliknya?

"Keempat, seperti biasa, hanya selepas sudah memutuskan penggabungan ini, barulah akan diwujudkan jawatankuasa khas berkenaan dengannya. Itu pun sekadar bertujuan untuk melaksanakan keputusan tersebut dan bukannya bagi membincangkan baik buruk penggabungan ini. Ia tidak lebih dari tindakan bersifat kosmetik bagi menunjukkan yang sensitiviti, pandangan serta saranan pelbagai pemegang taruh akan dilihat diambil kira.

"Saya menegaskan bahawa ini bukan satu tindakan yang profesional dan perlu," katanya.

Beliau berkata, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mesti berhenti membuat keputusan yang tidak jelas matlamat serta hala tujunya.

Katanya, pendidikan bukanlah satu sektor yang boleh dijadikan eksperimen secara membuta tuli. Saya harap perkara ini akan dipertimbangkan kembali oleh Pakatan Harapan. - UTUSAN ONLINE