Permohonan maaf itu dibuat selepas beliau mendakwa menerima mesej daripada rakyat negara tersebut termasuk dalam akaun media sosialnya.

“Atas dasar hubungan yang baik antara kedua-dua negara, saya mohon maaf dan berharap tiada demonstrasi diadakan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

“Saya tidak berniat membuat tuduhan atau menghina rakyat Indonesia. Mereka ada di hati saya. Namun kenyataan saya hanyalah berdasarkan maklumat am yang dibaca daripada laporan media dan tidak terlintas langsung untuk melakukan penghinaan,” katanya seperti dipetik portal The Star hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pemandu Gojek di Jakarta dilaporkan mengancam mahu mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan kerana mendakwa profesion mereka dihina.

Terdahulu, Shamsubaharin menyatakan cadangan pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai Gojek disifatkan bertentangan dengan budaya di negara ini.

Justeru, beliau tidak bersetuju dan mahu kerajaan menyelesaikan masalah membabitkan e-hailing dan pemandu teksi terlebih dahulu di samping memberi amaran mengadakan tunjuk perasaan sekiranya kelulusan diberikan untuk perkhidmatan itu.

Tambah Shamsubaharin, beliau mahu kerajaan mempertimbang semula pelaksanaan Gojek di negara ini kerana terdapat beberapa kekangan serta risiko yang perlu diambil kira.

“Menurut laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), secara purata sekurang-kurangnya dua penunggang motosikal maut akibat kemalangan setiap hari di Malaysia.

“Justeru, cadangan yang dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman haruslah dikaji terlebih dahulu dan tidak mempunyai sebarang kaitan politik,” katanya. - UTUSAN ONLINE