GELAGAT pengantin lelaki di Melaka yang menyelitkan sepucuk pistol mainan di pinggangnya menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.

Gambar sepasang pengantin tular Isnin lalu apabila pengantin lelakinya didapati menggunakan ‘senjata api’ bagi menggantikan keris pada hari bersejarahnya di Dewan Jape­run Duyong, Melaka.

Beberapa gambar yang tular di media sosial itu menunjukkan kedua pengantin dalam persalinan songket kuning jelas memperlihatkan sepucuk pistol berwarna hitam diselitkan pada samping pengantin lelaki.

Pengantin lelaki, Muhammad Saiful Ikhsan Muzafar, 25, berkata, dia sudah merancang untuk menampilkan ‘kelainan’ tersebut dua minggu sebelum majlis tersebut diadakan.

“Saya memohon maaf kepada orang ramai yang keliru dengan penggunaan ‘pistol’ berkenaan.

“Saya tahu adalah satu ke­salahan kalau memiliki senjata api walaupun permainan yang menyerupai senjata asli, jadi saya potong pistol berkenaan dan pakai bahagian peme­gang sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhammad Saiful hari ini difahamkan memberi keterangan pada pihak polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Tambah Muhammad Saiful, pistol tersebut adalah alat permainan, pistol angin yang dibeli pada harga RM45 di sebuah laman web beli-belah dalam talian.

“Tidak dinafikan ramai yang bertanya sama ada ia pistol asli, dan saya katakan pistol ini ha­nya gimik untuk nampak unik.

“Lagipun sepanjang majlis, pemegang pistol ini hanya terselit di samping, kalau saya keluarkan pun bukan nampak pistol tetapi pemegangnya saja,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Me­laka, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Nor Yhazid berkata, perbuatan tersebut menjadi ke­salahan di bawah seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki pistol tiruan.

Katanya, jika didapati bersalah, mana-mana individu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.