Pengarah program yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, setakat ini pihaknya belum lagi dihubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya yakin program pada 7 sehingga 9 Ogos lalu anjuran Kerajaan Pas Kelantan yang turut mendapat kerjasama agensi dan jabatan Persekutuan tidak mengandungi unsur yang menyalahi undang-undang.

"Kita anjur berdasarkan permit yang dibenarkan, anjurannya oleh kerajaan negeri Kelantan, dengan kerjasama semua jabatan, agensi negeri dan Persekutuan serta berlandaskan undang-undang yang ada, malah kita buat permohonan khusus untuk pertambahan masa dan sebagainya.

"Kenyataan Zakir di Kelantan tak ada salah pun kepada mana-mana agama, beliau perjelaskan tentang kebenaran Islam dan berdasarkan Perlembagaan kita boleh promosikan Islam, jadi apa yang dilakukan beliau tidak bercanggah pun, cuma mungkin menyusahkan hati (pihak) yang tidak mampu berhujah (balas)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas himpunan Solidariti Dr. Zakir Naik yang disertai kira-kira 500 orang termasuk wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Johari Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wa­nita negeri, Mumtaz Md Nawi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, pihak polis akan memanggil Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong), Ahli Perniagaan, Koon Yew Yin dan Zakir untuk disoal siasat berikutan beberapa laporan polis ke atas mereka.

Sebelum ini, kenyataan Zakir dalam salah satu program semasa jelajah dakwah di negeri ini dikatakan mempunyai unsur hasutan apabila menyentuh soal kaum Cina dan India.

Sementara itu, Che Abdullah berkata, tujuan himpunan itu diadakan bagi menyatakan sokongan kepada pendakwah itu berikutan kenyataan pelbagai pihak termasuk bertaraf Menteri yang mahu beliau diusir dari negara ini.

"Himpunan solidariti hari ini tidak ada pembentukan jawatankuasa khusus apa-apa pun untuk anjur, tapi hasil lontaran (idea) dalam media sosial dan sebagainya daripada rakyat yang mahu pertahankan Zakir.

"Saya yakin kalau Pas seru rakyat Kelantan bangkit pertahan Zakir, kita akan dapat kumpul lebih ramai daripada programnya di Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini.

"Ketika itu kita berkumpul untuk dengar hujah, walaupun ancaman mahu Zakir balik ke India sudah ada tetapi nampaknya selepas ceramah jadi semakin kuat, maka ini akan bangkitkan semangat rakyat Kelantan lagi," katanya. - UTUSAN ONLINE