Wakil kumpulan berkenaan, Mohd Khalid Mohamed berkata, ia merupakan ikhtiar kumpulan itu yang datang dari Skudai, Johor bagi membantu mengesan remaja perempuan warga Ireland berkenaan, mengikut kaedah perubatan Islam.

"Ikhtiar yang kita lakukan bermula sejak pagi tadi tertumpu di kawasan menuruni cerun bukit dan kemudian menyusuri sungai.

"Apabila berlakunya kejadian hilang di kampung ini, ia membuatkan kami terpanggil untuk datang ke sini menawarkan diri membantu dengan menggunakan cara alternatif lain bagi mengesan remaja hilang ini. Kami berharap anak ini dapat ditemui selamat," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd. Khalid berkata, kumpulan berkenaan pernah menawarkan khidmat mencari Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dikenali sebagai Acap yang hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, 23 Mac lepas.

Operasi SAR berkenaan yang memasuki hari kesembilan hari ini, membabitkan seramai 348 anggota, pasukan terbesar SAR setakat ini selain 11 orang pengamal media turut menyertai operasi SAR berkenaan. - BERNAMA