Dengan saiz ladang seluas 4.05 hektar seorang dan hanya bergantung kepada hasil tanaman kelapa sawit atau getah semata-mata di tanah berkenaan, kerajaan berpandangan operasi perladangan di Felda perlu memasuki dimensi baharu.

Di hadapan kira-kira 10,000 warga peneroka sempena Sambutan Hari Peneroka Felda di Felda Selancar 3 di Rompin, Pahang hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan rancangan kerajaan untuk mencantumkan ladang-ladang Felda menjadi estet besar kelapa sawit atau getah bersama tanaman selingan.

Tujuan rancangan tersebut adalah jelas, iaitu membantu peneroka memperoleh pendapatan menerusi hasil baharu supaya tidak terlalu bergantung kepada tanaman kelapa sawit atau getah yang mana ladang bersaiz mega berkenaan diuruskan oleh pakar-pakar dalam pengurusan estet.

Jika harga kelapa sawit dan getah jatuh, mereka masih memperoleh pendapatan daripada tanaman lain dan pendapatan juga boleh dibahagikan mengikut luas kawasan tanah disumbangkan dalam estet berkenaan.

Dalam majlis Sambutan Hari Peneroka Felda bertemakan ‘Peneroka Mandiri, Felda Lestari’yang julung kali diadakan di bawah pentadbiran kerajaan baharu itu, Dr. Mahathir berkata, pengurusan secara estet besar telah diamalkan oleh orang asing sejak zaman pentadbiran British di negara ini yang membolehkan pemilik ladang memperoleh keuntungan.

Jika dilihat secara keseluruhan, rancangan tersebut adalah selaras dengan Program Pembangunan Peneroka (PPP) iaitu satu daripada pelan tindakan komprehensif berteraskan smart farming dan aktiviti hiliran inovatif yang dilancarkan Perdana Menteri sempena majlis sambutan berkenaan.

PPP yang digariskan dalam Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Felda’ dibentangkan April lepas melibatkan peruntukan geran berjumlah RM1 bilion yang diberikan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun.

Persoalannya, apakah kira-kira 112,000 peneroka sedia mengubah corak tradisional mereka mengerjakan ladang kelapa sawit atau getah sejak tanah rancangan dibuka kepada pendekatan baharu itu?

Di sinilah cabaran sebenar untuk meyakinkankalangan generasi pertama Felda yang sudah berusia lebih 60 tahun memberi sokongan mewujudkan ladang besar itu.

Sehingga kini, belum ada contoh terbaik untuk memperlihatkan kejayaan mencantumkan ladang-ladang Felda menjadi estet besar bersama tanaman selingan.

Pada peringkat ini, kerajaan perlu meraih kepercayaan para peneroka seterus mendapat sokongan mereka untuk menjayakan rancangan tersebut.

Jika gagal, rancangan besar ini tidak ke mana-mana. - UTUSAN ONLINE