Beliau berkata, penerbangan itu dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah dekat sini pada pukul 1.10 pagi waktu tempatan atau 6.10 pagi waktu Malaysia.

Katanya, penerbangan balik terakhir jemaah haji Malaysia adalah pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan atau 6 petang waktu Malaysia pada 12 September ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdul Aziz di Madinah.

“Penerbangan terakhir itu dijangka tiba di KLIA pada hari Jumaat, 13 September pada pukul 3 pagi (waktu Malaysia),” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) Mekah, Abraj Janadriyah di sini hari ini.

Penerbangan pulang pertama itu akan membawa seramai 483 jemaah haji Malaysia dan sebanyak 69 penerbangan akan terlibat dalam operasi membawa pulang jemaah itu.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas Tabung Haji.

Syed Saleh berkata, jemaah haji yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz melibatkan penerbangan antara 18 Julai hingga 5 Ogos, akan dibawa ke Madinah bermula Jumaat ini (23 Ogos) selepas solat Jumaat.

Beliau berkata semua jemaah haji Malaysia selamat pulang ke Mekah dari Mina pada pukul 10.50 pagi semalam waktu tempatan atau 3.50 petang waktu Malaysia setelah menyelesaikan ibadah melontar jamrah.

“Alhamdulillah jemaah haji telah selesaikan tunaikan tawaf dan sai’ haji. Bagi operasi haji untuk tahun ini, semuanya berjalan dengan lancar dan secara keseluruhan saya berpuas hati dengan perjalanan musim haji tahun ini,” katanya.- BERNAMA