Para jemaah haji itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 9:15 pagi (waktu Malaysia) menaiki Penerbangan Malaysia (MAS) MH8128.

Mereka merupakan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang mendarat di Jeddah pada pukul 1:26 petang waktu tempatan (7.26 malam waktu Malaysia) dan terus dibawa ke penginapan masing-masing di sini.

Ketibaan mereka disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin, Konsul Haji, Mohammad Saimi Mat Som, pegawai-pegawai Makkah Route dan petugas Tabung Haji.

Menurut Pengarah Operasi Media, Anis Zuhani Ahmad, para jemaah haji dibawa ke Mekah dengan 11 buah bas dan tiba di Hotel Manar Al Shoroq pada jam 3.40 petang waktu tempatan (8.40 malam waktu Malaysia).

Ketika ini lebih 13,000 jemaah Haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci dan penerbangan terakhir jemaah ke Jeddah dijangka pada 5 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE