Ketua Kampung Balok Mansor Mokhtar, 48, berkata, ketetapan itu menyebabkan Lynas kini perlu lebih serius khususnya dalam mencari Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi residu Water Leach Purification (WLP), seperti yang disyaratkan kerajaan.

“Saya yakin Lynas boleh memenuhi syarat itu kerana sebelum ini pun, apabila ditetapkan syarat, mereka sedaya upaya mengikutnya. Keputusan kerajaan menyambung lesen juga baik bukan hanya untuk pekerja Lynas, tetapi juga bagi pembangunan kawasan sekitar.

“Lynas perlu menggunakan sebaik-baiknya tempoh enam bulan ini untuk menerangkan dengan lebih jelas mengenai operasi mereka kepada orang awam, yang mungkin tidak mendapat maklumat sebenar,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Pada 15 Ogos lalu, kerajaan melanjutkan lesen operasi Lynas, yang sepatutnya tamat September ini, kepada enam bulan dengan syarat membina PDF, mengemukakan perancangan pembinaan kemudahan ‘cracking and leaching’ dan menamatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R(amp)D) berkaitan penggunaan semula residu WLP sebagai CondiSoil dalam bidang pertanian.

Seorang lagi penduduk Kuantan, Datuk Shaharuddin Shamsuddin, 69, menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai ‘memberi kelegaan’ kepada 1,000 pekerja Lynas, yang kebanyakkannya terdiri daripada rakyat tempatan.

Katanya, berdasarkan pengalaman sendiri, operasi Lynas yang beroperasi sejak 2012 banyak memberikan limpahan ekonomi di kawaan setempat seperti penduduk selain turut aktif melakukan tanggungjawab sosial korporat di kawasan sekitar.

“Kami amat berharap Lynas dan kerajaan negeri Pahang dapat mencapai persetujuan dalam tapak PDF dalam tempoh disyaratkan supaya kilang itu boleh terus beroperasi,” katanya.

Bagi Bahazelan Abd. Wahab, 65, yang menyokong keputusan kerajaan berkata, sudah pasti mereka di Balok sendiri akan terus menentang operasi Lynas jika mendapati operasinya tidak selamat kepada penduduk berhampiran.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak pernah mendengar ada penduduk yang sakit disebabkan operasi kilang itu sejak ia mula beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

“Kami bukan penduduk kampung yang langsung tidak faham dengan operasi kilang itu. Ramai juga di antara kami yang terdiri daripada golongan terpelajar.

“Malah, kami sendiri telah mendengar banyak penerangan oleh mereka yang terpelajar dalam hal ini dan semuanya mengatakan operasi Lynas dijalankan mengikut peraturan dan selamat,” katanya. - BERNAMA