Ketua peserta Felcra itu, Kamaruzaman A. Latiff berkata, laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini berhubung penderitaan mereka diharap dapat membuka mata pihak berkenaan untuk menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.

"Kira-kira enam bulan, penduduk menanggung masalah ini. Akhirnya apabila ia disiarkan media, kami rasa masih ada pihak yang prihatin dengan kesukaran hidup kami.

"Kami ucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif dan pihak media kerana membantu menyuarakan masalah kami," katanya di sini hari ini.

Kira-kira 500 penduduk dari 100 keluarga peserta Felcra Rompin di sini mengeluh ekoran elaun sara hidup RM800 sebulan yang dinikmati mereka terhenti sejak Ogos tahun lalu.

Mereka sepatutnya mendapat bantuan itu kerana melaksanakan projek tanam semula getah pada Ogos 2015 sehingga pokok getah mencapai tahap matang dalam tempoh enam tahun.

Sementara itu, harapan sama disuarakan seorang lagi penduduk, Satariah Jalil yang berharap mendapat maklum balas daripada pihak Felcra berhubung masalah berkenaan.

"Kami semua ada keluarga, kena ada duit untuk beli makanan dan pakaian. Kalau perkara ini berlarutan macam mana kami hendak teruskan hidup.

"Semakin lama kami kehabisan wang, kalau ada elaun itu ringan sedikit beban. Ini bukan melibatkan seorang dua tetapi kira-kira 500 penduduk, kasihanilah kami," rayunya. - UTUSAN ONLINE