Menurut Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ranhill SAJ selaku pembekal air utama di negeri ini disaran melakuan pembenihan awan di kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah tersebut.

"Catuan bekalan air berjadual yang sedang dilaksanakan bagi tempoh 36 jam telah memberikan kesan kepada semua kegiatan harian penduduk termasuk para peniaga makanan dan sebagainya.

"Sebagai umat Islam, saya menyarankan agar diadakan solat sunat memohon hujan atau solat Istisqa sebagai satu usaha memohon kepada Allah supaya hujan turun di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai catuan bekalan air berjadual kawasan Pontian Utara daripada Pengurus Operasi Ranhill SAJ Pontian, Razak Supar dan Ketua Agensi Ranhill SAJ Pontian, Abd. Aziz Kutiran di sini semalam.

Tambah Ahmad, bagi tempoh jangka panjang, Ranhill SAJ disaran membina tangki besar di Jalan Wawasan Benut manakala kerja-kerja pengambilan tanah sedang dijalankan bagi pembinaan tangki di Parit Ariff Benut.

“Dicadangkan juga dibina Loji Memproses Air di Sungai Pontian Besar bagi memberi bantuan sokongan kepada Empangan Machap jika keadaan seperti ini berlaku pada masa depan,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE