Asma Ismail
Asma Ismail 

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Asma Ismail berkata, pendidikan sememangnya menjadi radas yang penting bagi penyatuan bangsa dan kaum di sesebuah negara multi-etnik seperti Malaysia.

“Bermula dari umur enam hingga tujuh tahun, penerapan kebangsaan berteraskan penyatuan bangsa telah diperkenalkan, sesuai dengan peribahasa ‘melentur buluh, biar dari rebungnya’.

“Pengukuhan pemahaman sedemikian adalah berterusan dan diterapkan lagi di peringkat lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, proses pendidikan juga bukan sahaja bertujuan meningkatkan kapasiti intelek dengan ilmu dan kemahiran tetapi juga membekalkan seseorang itu dengan kapasiti sosial individu untuk menghayati serta bersedia untuk menerima kebersamaan dalam masyarakat, untuk hidup bersama, saling menghormati, berkasih sayang dan menghargai kepelbagaian yang ada agar dapat memberikan kebahagiaan dan keharmonian.

Justeru, Asma mengalu-alukan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mempertahankan Program Matrikulasi untuk Bumiputera semasa menghadiri pertemuan dengan pelajar dan staf USM ketika menjawab satu soalan baru-baru ini dan menurut Asma ia wajar dipuji.

Katanya, Program Matrikulasi masih perlu selagi berlaku ketidakseimbangan terutamanya dari sudut peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Pendidikan dan peluang pekerjaan sememangnya saling bersangkutan dan inilah adalah hakikat sebenar yang berlaku dalam masyarakat. Rata-rata, tekanan berlaku dalam pelbagai sektor yang selama ini tidak berani didedahkan oleh kita.

“Ia dianggap tabu dan walaupun ada kajian yang dibuat, ianya jarang didedahkan demi menjaga keharmonian kaum,” katanya.

Beliau berkata, pendidikan menjadi mekanisme penting dalam meningkatkan kebolehpasaran bakat masa hadapan yang perlu juga seimbang dan merapatkan jurang ketidaksamarataan yang ada.

“Hal ini perlu di sokong oleh keseluruhan sistem yang ada termasuk syarat pekerjaan dan peluang untuk peningkatan dalam kerjaya sesuai dengan peningkatan bakat,” katanya. - BERNAMA