Perdana Menteri berkata, prinsip tiga serangkai itu perlu ada dalam diri individu dan organisasi kerana ia akan melahirkan disiplin, tanzim serta ketersusunan yang mampu mendatangkan kestabilan kepada sesebuah negara.

Sehubungan itu, beliau me­ngajak rakyat dan umat Islam untuk melihat wala’ dalam perspektif ketaatan dan kesetiaan yang lebih luas dalam aspek pentadbiran negara yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

“Ulama berpendapat, dalam situasi Malaysia hari ini, wala’ sudah sampai ke tahap wajib diberikan kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi yang sah.

“Di Malaysia, kita cukup berimbang, bersederhana, adil lagi saksama dan tidak bersifat diktator sehingga timbul keterlaluan serta ketaasuban membuta tuli yang boleh membawa kepada fahaman atau ideologi ekstrem serta melampau,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis perasmian Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 ‘Fiqh Wala’ dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam ini.

Najib berkata, wala’ penting kerana ia umpama pasak yang bertindak sebagai penentu jatuh bangun sesebuah pasukan atau negara mahupun ummah secara keseluruhan.

Perdana Menteri berkongsi suatu kisah sahabat Nabi yang telah mengkhianati para muslimin dengan membocorkan rahsia atau berkongsi maklumat kepada musuh Islam di Mekah sehingga telah merosakkan strategi pihak Islam yang disusun dengan baik.

Walau bagaimanapun Najib berkata, berbalik pada konsep tiga serangkai itu, tabayyun sentiasa menyeru mereka yang telah tersilap langkah untuk kembali ke pangkal jalan.

Perdana Menteri seterusnya menegaskan, kerajaan tidak akan sesekali membiarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya menjatuhkan kerajaan tanpa mengikut lunas undang-undang yang sewajarnya.

“Sebagai pemimpin, saya terbuka kepada pandangan dan menerima teguran yang membina.

“Namun kritikan atau teguran tidak wajar disulami dengan fitnah, cacian atau tohmahan jahat yang bertujuan merosakkan nama baik pemimpin,” katanya.