Langkah itu menurut Felo Penyelidik Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo adalah untuk mengelakkan penduduk di kawasan yang tercemar mengalami masalah kesihatan jangka panjang.

“Kerajaan negeri perlu memastikan keselamatan penduduk di kawasan yang berisiko tinggi terjamin dengan memindahkan mereka ke tempat lebih selamat. Pengisytiharan darurat perlu dilaksanakan sehingga keadaan benar-benar pulih.

“Jumlah mangsa yang meningkat ketika ini adalah kerana kesan jangka pendek pencemaran toksik itu. Yang lebih bahaya adalah kesan jangka panjang terhadap mangsa kerana mampu menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit merbahaya,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu mengambil langkah pantas membendung jumlah mangsa daripada terus meningkat kerana dikhuatiri akan menyebabkan keadaan lebih buruk berlaku.

Katanya, tindakan lambat daripada pihak bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat secara tidak sengaja menyebabkan lebih ramai penduduk setempat menjadi mangsa pencemaran tersebut.

Sementara itu, Presiden Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi), Prof. Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud mencadangkan kerajaan negeri untuk meminta bantuan daripada syarikat loji penapisan minyak untuk membersihkan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Menurut Wan Ramli, syarikat berkenaan mempunyai alat penuras minyak yang boleh digunakan untuk menyerap sisa toksik organik yang terapung di permukaan Sungai Kim Kim.

“Yang penting kita membersihkan punca pencemaran terlebih dahulu kerana sisa toksik di Sungai Kim Kim telah melepaskan gas toksik sehingga tersebar ke kawasan berhampiran.

“Ini merupakan bencana kimia terburuk dalam sejarah. Usaha pantas daripada semua pihak perlu dilakukan bagi mengelakkannya menjadi lebih buruk,” katanya. - Utusan Online