Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, kerajaan negeri juga dimaklumkan bahawa kejadian itu bukannya disebabkan oleh pencemaran sisa toksik seperti yang pernah berlaku di Sungai Kim-Kim, Johor baru-baru ini.

Menurut beliau, kajian sampel mendapati air sungai itu bertukar menjadi hitam kerana sisa mendapan yang tidak mengalir ketika proses “flushing” sungai dilakukan dan ia naik semula ke permukaan ketika hujan lebat.

“Selain itu, bangkai ikan yang mati pula adalah jenis talapia, disebabkan terdapat kandungan garam air di dalam air sungai yang mengalir dari Empangan Batu Hampar, Batu Berendam.

“Kita percaya kejadian ini juga berpunca daripada limpahan air laut ke Empangan Batu Hampar ketika hujan lebat sekali gus berlaku campuran air sungai dan kandungan garam,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Seri Negeri di sini hari ini.

Semalam, ribuan ikan ditemukan terapung dan air sungai bertukar menjadi warna hitam serta berbau busuk dipercayai berpunca daripada pencemaran air Sungai Melaka.

Pencemaran itu dikesan bermula dari Empangan Batu Hampar dan menyebabkan kawasan muara Sungai Melaka sehingga ke Melaka Sentral sejauh empat kilometer tercemar.

Kerajaan negeri mengarahkan penutupan empangan tersebut dilakukan serta-merta berikutan kejadian itu. - UTUSAN ONLINE