Tindakan sedemikian perlu diambil berikutan masalah pencemaran di kawasan perindustrian itu seperti tiada kesudahan sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dan dakwaan tidak masuk akal.

Menurut Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail, sepatutnya pihak yang menyebabkan pencemaran perlu diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

“Isu keracunan yang dihadapi oleh penduduk termasuk pelajar sekolah di Pasir Gudang memerlukan penyelesaian segera, bukan setakat penguatkuasaan undang-undang sahaja.

“Kalau keracunan disebabkan bahan kimia, tunjukkan jenis bahan, sumber dan kesan kepada khidupan serta beri penyelesaian yang meyakinkan kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan daripada Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam Sekitar (BBPIPAS) antaranya penubuhan Jabatan Alam Sekitar cawangan Pasir Gudang serta mewujudkan pelan janga pendek, sederhana dan panjang untuk mengatasi masalah pencemaran di sana.

Dalam pada itu, Ahmad Ismail turut mengingatkan pihak berwajib supaya menyalurkan maklumat yang jelas kepada penduduk di sana supaya tidak menimbulkan kerisauan dan ketakutan dalam kalangan mereka.

“Sekiranya penduduk tempatan sudah dalam ketakutan dan ada pihak mencadangkan untuk meminta bantuan antarabangsa, menunjukkan rakyat tempatan berada dalam kerisauan tentang kesihatan mereka.

“Mungkin, pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil penduduk dan sebagainya mendapatkan kedudukan sebenar. Yakinkan masyarakat tentang punca sebenar, jalan penyelesaian beserta dengan bukti,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE