Pengurus Kanan KWSP Cawangan Kajang, Mohd. Taib Ismail berkata, masalah itu boleh berlaku apabila golongan pesara sering mengeluarkan duit caruman mereka secara sekali gus.

“Kebiasaannya, pencarum akan mengeluarkan duit simpanan mereka secara sekali gus apabila sudah mencapai had umur yang ditetapkan.

“Duit simpanan tersebut dianggarkan boleh habis dalam tempoh enam bulan sehingga tiga tahun sekiranya tiada pengeluaran secara terkawal,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Awam KWSP 2015 di Ibu Pejabat Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Mohd. Taib menyarankan golongan pencarum supaya tidak hanya bergantung kepada duit KWSP semata-mata sebagai simpanan hari tua, sebaliknya turut melabur dalam pelbagai agensi kewangan lain termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Jelas beliau, KWSP juga menyediakan khidmat nasihat persaraan untuk golongan tersebut bagi membantu menguruskan duit simpanan mereka.

“Golongan pesara sering menganggap bahawa duit KWSP adalah mencukupi untuk bekalan hari tua mereka tanpa mencari kaedah penyimpanan lain.

“Tanggapan itu perlu dikikis bagi mengelak lebih ramai golongan pesara terlibat dalam masalah kemiskinan,” ujarnya.

Sehingga kini terdapat sebanyak 14 juta ahli KWSP di seluruh negara dengan lapan juta daripada jumlah tersebut ialah pencarum aktif.