Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap jawatan yang dipegang datang dengan tangungjawab serta akauntibiliti dan itu peringatan untuk semua pemimpin.

“Saya berpegang kepada setiap jawatan datang dengan amanah. Setiap jawatan bila tawarkan diri untuk pegang, apatah lagi jalan untuk dapatkannya dengan melalui pertandingan pemilihan.

“Jadi saya ambil ini sebagai satu peringatan umum kepada semua termasuk diri saya sendiri. Maknanya tuntutan yang paling minimum dalam disiplin organisasi ialah menghormati mandat, amanah dan kepercayaan anggota parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sudah beberapa kali tidak menghadiri mesyuarat biro politik PKR dan sehingga kini tidak dikenakan tindakan.

Terdahulu Saifuddin Nasution menghadiri Majlis Kibarkan Jalur Gemilang Sempena Hari Merdeka 2019 bersama anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Sungai Kantan, Kajang, Selangor anjuran Kumpulan D'Tandoor di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau ada berhubung dengan Mohamed Azmin, Saifuddin Nasution berkata, beliau berhubung seperti biasa dan bertemu dalam mesyuarat mingguan selain turut berkomunikasi dalam bentuk lain dengan Mohamed Azmin.

“Saya masih menjaga hubungan, kami ada sejarah hubungan yang lama sebagai aktivis parti yang paling awal. Saya tidak lihat apa-apa masalah membabitkan hubungan saya dengan Mohamed Azmin.

“Saya memilih utk terus berhubung sampaikan pandangan, itu langkah yang saya fikir memadai buat masa sekarang. Sebab itu saya sebut jika semua pihak perlu mengambil pendekatan bahawa pada jawatan kita itu ada tanggungjawab dan pertanggungjawaban,” katanya.

Mengulas mengenai pertukaran portfolia kementerian, Saifuddin Nasution berkata, watak terbaik untuk membuat keputusan berhubung perkara tersebut ialah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.

“Selepas setahun lebih, maka Perdana Menteri lihat kemungkinan untuk beliau buat usaha ke arah penambahbaikan untuk tingkat prestasi kerajaan. Jadi antara pilihan yang ada ialah menyesuaikan portfolio kementerian.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menentukan perkara ini. Mengenai kedudukan saya, saya berserah kepada Allah kerana Allah yang menaik dan menurunkan, sebagai seorang muslim saya berpegang kepada panduan itu,” katanya.-UTUSAN ONLINE