Selaku parti yang memerdekakan negara dan mengisi kemerdekaan itu selama 61 tahun sehingga berjaya mendaulatkan martabat Islam, Melayu dan negara, takdir UMNO tidak sepatutnya begitu jika pemimpinnya peduli naluri rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berkata, sama sebagaimana peringatan Allah SWT dalam surah Al-Isra', pemimpin UMNOlah yang digambarkan kufur kurniaan Ilahi hingga ditarik nikmat kuasa politik.

"Kerana pangkat dan kuasa, kita berentakan sesama sendiri, kerana mengejar harta dan khazanah, kita sanggup mencantas sesama ahli. Akhirnya kita tergelincir sehingga perjuangan Melayu serta Islam sanggup kita perjudi dan khianati.

"Hakikatnya yang bersalah bukan UMNO, mana mungkin parti yang memerdekakan negara ini begitu buruk sekali takdirnya? Mana mungkin parti yang mengangkat martabat Islam begitu hodoh sekali rupanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Asyraf Wajdi juga menasihatkan semua ahli serta pemimpin UMNO agar menerima kekalahan dengan penuh sedar dan insaf sebagai takdir yang telah ditentukan Allah.

"Terimalah kekalahan ini dengan hati yang terbuka, percayalah kekalahan ini bukan kerana musuh kita kuat atau hebat tetapi kerana kesilapan serta salah laku kita sendiri, kita tewas lantaran tingkah kita yang bertentangan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE