Ahlinya, Abdullah Thawab Kassim berkata, DMJ turut mempersoalkan apa sumbangan Chef Wan kepada pembangunan Felda mahu pun generasi baharu Felda sehingga beliau dipilih untuk diberikan anugerah itu.

Menurutnya, Chef Wan juga sebelum ini begitu lantang mengkritik Felda dan kerajaan terdahulu dalam media sosial tanpa memberikan sebarang cadangan untuk membangunkan Felda.

“Oleh kerana ‘nasi sudah jadi bubur’, maka apa yang diharapkan kepada Chef Wan setelah memegang gelaran itu adalah beliau haruslah terlibat secara langsung dengan kerja-kerja pemulihan Felda dan pembangunan intelektual komuniti serta generasi baharu FELDA.

“Jangan sekadar memegang gelaran hanya pada nama, namun tidak memainkan peranan dan menjalakan fungsinya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga merupakan generasi baharu Felda berkata, terdapat ramai calon generasi Felda yang layak diangkat sebagai ikon antaranya ilmuwan Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab Hamid (Felda Kemendor), Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman (Felda Lasah) dan mantan Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada yang merupakan generasi Felda pertama menyandang jawatan sebagai pengarah besar entiti tersebut.

Sementara itu, Abdullah Thawab berkata, sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Perdan Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Felda Selancar 3 semalam malangnya agak janggal dan tidak seperti sambutan tahun-tahun sebelumnya.

Sambutan itu, katanya, nampak begitu berbeza dengan sambutan pada tahun 2017 semasa di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) di mana Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan enam insentif khas untuk peneroka.

“Peneroka yang hadir mengharapkan sesuatu pengumuman daripada kerajaan dalam membantu mereka. Namun sayangnya, hal yang diketengahkan dalam ucaptama Tun Mahathir hanya menyatakan pelan pemajakan ladang peneroka yang dilihat bukanlah satu berita baik kepada peneroka Felda.

“Perdana Menteri juga gagal membalas berberapa perkara yang diketengahkan oleh Ketua Peneroka Felda, Jamil Sulong Mohd. Shariff dalam ucapan pembukaan pada sambutan itu seperti isu bantuan subsidi penanaman semula kelapa sawit selain meminta kerajaan meneliti mekanisme pemotongan hutang peneroka.” katanya.

Justeru, katanya, DMJ berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih perlu bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah kesesakan hidup yang dialami peneroka Felda ketika ini sekali gus tidak mengabaikan serta membuat tindakan tidak sensitif kepada mereka. - UTUSAN ONLINE.