Pelancaran tersebut menandakan pembukaan rasmi hotel kedua rangkaian Zenith Hotels and Resorts dengan yang pertamanya di Kuantan, Pahang pada 2011.

Terletak di Presint 2 yang dikelilingi oleh pejabat-pejabat kerajaan serta tarikan-tarikan utama di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Hotel Zenith Putrajaya memiliki 253 bilik, termasuk 11 suite eksekutif, tiga suite ‘zenith’ dan sebuah suite ‘presidential’.

Pengarah Eksekutif Zenith Putrajaya, Frank Tew berkata, walaupun Kumpulan Zenith Aim secara amnya merupakan sebuah syarikat pemaju hartanah, mereka akan tetap memberi tumpuan kepada pembangunan industri hospitaliti.

Kata beliau, pihaknya mempunyai visi yang akan dilaksana termasuk memperkenal serta mengkongsikan keistimewaan Malaysia, budaya dan gaya hidup harmoni kepada pelanggan hotelnya.

“Pelanggan akan menikmati pengalaman-pengalaman ini ketika menginap di Zenith Hotels and Resorts, satu pengalaman di sebuah hotel lima bintang tempatan sebenar dengan pengiktirafan antarabangsa seperti Indeks Bangunan Hijau, Standard Hotel Hijau ASEAN serta standard alam sekitar dan keselamatan makanan Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO).

“Ini bagi memastikan ia mesra pelanggan dan alam bagi pembangunan perniagaan mapan hotel,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian berkenaan.

Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Zenith Aim, Datuk Seri Tew Kim Thin.

Zenitih Aim Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat pemaju dan pengurusan hartanah tempatan yang telah membina projek-projek besar di Pahang termasuk Zenith Kuantan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) dan Kuantan City Mall. - UTUSAN ONLINE