Pengerusi Biro Eko­nomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO, Azlan Abdullah berpendapat, sekiranya perjanjian tersebut ditolak, negara akan kehilangan peluang untuk mengurangkan jurang pemba­ngunan, selain gagal dalam mencapai matlamat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Beliau juga menyifatkan ke­putusan kerajaan untuk terlibat awal dengan rundingan TPPA sebagai kritikal bagi memastikan syarat-syarat tertentu yang pen­ting serta selari dengan polisi negara dapat dikekalkan dan diiktiraf oleh perjanjian itu.

Katanya, kelewatan menyer­tai perjanjian itu boleh menyebabkan Malaysia disubjekkan kepada terma-terma yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota lain, sebelum menandatangani TPPA.

“Hasil kajian yang telah dilakukan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) menunjukkan bahawa sekiranya dilaksanakan dengan betul, Malaysia berupaya menjadi salah satu penerima manfaat utama kepada perjanjian perdagangan tersebut.

“Antaranya seperti peningkatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada RM440.12 bilion kepada RM867.9 bilion antara jangka masa 2018 hingga 2027, berikutan pemansuhan atau pengura­ngan halangan perdagangan.

“Selain itu, melalui pelaburan langsung asing (FDI) pula, hampir dua juta peluang pekerjaan dapat diwujudkan menjelang 2017. Polisi-polisi bumiputera, perniagaan serta industri kecil dan sederhana (IKS) dilindungi menerusi syarat-syarat yang telah dirunding oleh delegasi negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Azlan perca­ya, sebagaimana perjanjian perdagangan bebas (FTA) lain, TPPA juga merupakan satu dokumen berlandaskan kepada janji, yang manfaat sepenuhnya hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat kehendak politik daripada badan legislatif dan eksekutif untuk melakukan reformasi diperlukan terhadap ekonomi negara.

Berikutan itu, Azlan menyarankan supaya sesi penerangan yang sebelum ini dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta agensi-agensi berkaitan diteruskan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai pelbagai aspek TPPA.

“Selain itu, bengkel juga perlu diadakan untuk IKS yang meliputi kesemua sektor bagi memastikan persediaan secukupnya dilakukan sebelum pelaksanaan TPPA.

“Bantuan kewangan kepada IKS perlu dipertingkatkan bagi memastikan kesediaan IKS bumiputera untuk mengambil manfaat sepenuhnya terhadap akses pasaran yang semakin meluas selepas TPPA direalisasikan pada 2018,” jelas beliau.