Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, nilai ringgit yang rendah menyebabkan harga produk dari Thailand, terutama bahan mentah meningkat apabila dipasarkan di negara ini.

Dalam masa sama, katanya, situasi itu juga secara tidak langsung membolehkan harga barangan dari negara ini menjadi lebih rendah apabila dipasarkan di negara jiran itu.

"Sebelum ini, kita sering mengimport bahan mentah seperti sayur dan buah dari Thailand kerana harganya lebih murah menyebabkan produk keluaran kita tidak mampu bersaing.

DR. MOHD. RADZI MD. JIDIN (tengah) bersama bersama para peserta Program Motivasi Pelajar SPM bagi Se

DR. MOHD. RADZI MD. JIDIN (tengah) bersama bersama para peserta Program Motivasi Pelajar SPM bagi Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Ketereh di UiTM Kelantan di Machang hari ini. - UTUSAN ONLINE/ GHAZALI BASRI

"Jika permintaan terhadap import dari Thailand berkurangan akibat kenaikan harga, maknanya kita boleh isi kelompongan ini dengan produk kita. Ini peluang baik untuk pengusaha tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Motivasi Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah Daerah Ketereh di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Tuan Mohd. Rosli Tuan Hassan.

Prestasi mata wang baht Thailand semakin meningkat berbanding ringgit tahun ini, malah difahamkan, mata wang negara jiran itu dikatakan berada pada tahap tertinggi dalam sejarah apabila setiap 100 baht diniagakan pada kadar RM13.

Situasi itu menimbulkan rungutan dan keresahan penduduk di negeri ini kerana harga produk dan bahan mentah dari Thailand kini menjadi semakin mahal.

Mengulas lanjut, Mohd. Radzi berkata, jika benar-benar mahu bersaing dengan produk Thailand, usahawan tempatan perlu meningkatkan pengeluaran dan dalam masa sama, memastikan kualitinya terjaga.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Radzi berkata, peruntukan RM1.4 bilion diluluskan kerajaan Pusat kepada Kelantan bagi tujuan pembangunan terutama pembinaan rangkaian jalan raya menunjukkan negeri ini tidak lagi dipinggirkan. - UTUSAN ONLINE