SHAHRIMAN ABU BAKAR
SHAHRIMAN ABU BAKAR 

Pengarah Bahagian Automotif dan Sukan Permotoran Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof Madya Dr. Shahriman Abu Bakar berkata, lebih penting minyak kelapa sawit adalah bersifat mesra alam kerana mampu dinyahuraikan selepas digunakan.

Kata beliau, berbanding minyak pelincir berasaskan petrolium di pasaran, ia perlu melalui proses kitar semula sebelum boleh dibuang, sekali gus sudah tentu akan meningkatkan kos.

Beliau menambah, minyak kelapa sawit juga terbukti mempunyai ciri-ciri dimiliki minyak pelincir di pasaran seperti mengurang geseran, membersih dan menyejukkan enjin.

“Cumanya kita memerlukan kajian lebih terperinci iaitu dalam aspek bagaimana jenis serta ketahanan minyak kelapa sawit untuk sesebuah enjin (dua lejang atau empat lejang dan jarak kilometer penggunaan) dan jenis kenderaan boleh digunakan (seperti jenis-jenis kereta mahu pun kenderaan berat).

“Lebih istimewa, berdasarkan pengetahuan saya, ciri-ciri unik yang terdapat pada minyak kelapa sawit ini, tiada pada minyak tumbuhan lain seperti kacang soya atau jagung,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas satu rakaman klip video berdurasi seminit dan 30 saat yang menunjukkan seorang lelaki menggunakan minyak kelapa sawit sebagai alternatif menjimatkan kos, bagi menggantikan minyak pelincir untuk keretanya.

Shahriman seterusnya berkata, walau bagaimanapun beliau percaya bahawa minyak kelapa sawit untuk kegunaan pelincir enjin kenderaan perlu melalui proses penambahbaikan untuk meningkatkan prestasi seperti mana dilakukan terhadap minyak berasaskan petrolium di pasaran.

“Ini bermakna sekiranya hendak dikomersialkan, bukanlah semata-mata kita ambil minyak kelapa sawit dan terus gunakannya sebagai minyak pelincir enjin... Perlu masukkan additif dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, dalam aspek lain, minyak kelapa sawit juga telah dibuktikan menerusi kajian-kajian tempatan sebelum ini bahawa hasil pertanian itu boleh digunakan sebagai biodiesel iaitu bahan api untuk menggerakkan kenderaan.

“Malah kita (Unimap) kini sedang membangunkan enjin motosikal tempatan yang menggunakan biodiesel daripada minyak kelapa sawit, yang banyak boleh didapati di negara ini,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE