Frasa memakmurkan negeri bertujuan memastikan ekonomi Negeri Sembilan berkembang maju untuk pembangunan negeri yang seimbang bagi menjayakan frasa mensejahterakan rakyat iaitu memastikan seluruh rakyat hidup aman, makmur, sentosa, damai, bahagia, selesa dan selamat.

Lima inisiatif tersebut terdiri daripada kesejahteraan rakyat, perumahan mampu milik, pemba­ngunan infrastruktur bertaraf dunia dan transformasi luar bandar; meningkatkan kualiti kehidupan warga bandar dan menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Menurut laporan portal kerajaan negeri www.bnns2rakyat.com, sejak 2013, kerajaan negeri telah memberi tumpuan utama terhadap menyediakan perumah­an mampu milik untuk rakyat dengan menambah bilangan rumah tersebut.

Hasrat tersebut menyaksikan sebanyak 5,453 buah rumah mampu milik ditawarkan melalui program Perumahan Rimbunan Kasih, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di seluruh negeri ini.

Daripada jumlah itu, 100 buah Perumahan Rimbunan Kasih di Mukim Batu Hampar, Rembau dan 163 buah PPA1M di Rantau dan Kuala Pilah telah pun siap.

Kerajaan juga komited untuk menyiapkan PGBF melibatkan sebanyak 144 buah di Pasoh 1, Pasir Besar (120), Palong 8 dan 9 (300), Palong 12 (150), Palong 16 (210) serta Pasoh 2 dan 3 (220).

Para penjawat awam juga berpeluang memiliki rumah PPA1M yang sedang dibina di Taman Kepayang Jempol sebanyak 16 buah, Taman Marikh, Batu Kikir (14) dan Taman Jade, Jempol (10).

Dasar perumahan mampu milik kerajaan negeri yang menyeluruh turut merangkumi golo­ngan miskin melalui penyediaan seba­nyak 100 buah Rumah Awam Harga Rendah (RAHR) sedang dibina di Ladang Tanah Merah, Port Dickson dan 100 buah lagi di Rantau dekat Rembau.

Golongan pertengahan pula ber­peluang memiliki rumah menerusi program Perumahan Rak­yat 1Malaysia (PR1MA) dengan pembinaan sebanyak 8,844 buah rumah tersebut di Seremban, Port Dickson, Rantau, Senawang dan Pedas.