Ketua Pengarah Penerangan, Roselindawati Abdul Rahman berkata, program itu termasuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 yang akan membabitkan jarak sejauh 6,200 kilometer di Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan.

Beliau berkata, kembara itu membabitkan 62 hentian simbolik kepada 62 tahun kemerdekaan negara.

“Bagi Semenanjung Malaysia, kembara akan menjelajah di semua negeri membabitkan jarak lebih 5,000 kilometer,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat kerjasama strategik Jawatankuasa Media dan Publisiti Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini.

Difahamkan, Kembara Merdeka Jalur Gemilang akan dilepaskan di Melaka pada 3 Ogos ini sempena majlis pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kembara itu akan berlangsung sehingga 16 September dengan pelbagai pengisian termasuk pengedaran Jalur Gemilang dan risalah kenegaraan, pameran patriotik dan kenegaraan, program keagamaan serta Merdeka @Komuniti.

Majlis pelancaran kembara itu merupakan satu daripada tiga acara utama sambutan pada tahun ini. Dua acara lain ialah perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya dan Hari Malaysia 16 September di Kuching, Sarawak.

Program-program lain termasuk MyMerdeka Sayangi Malaysiaku, Aktivis Kemerdekaan, pertandingan sketsa rukun negara, pertandingan keceriaan Bulan Kemerdekaan, pidato dan pengisahan kenegaraan.

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019 bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.’

Pemilihan tema itu menekankan usaha memupuk perpaduan, semangat cintakan negara dan menonjolkan nilai integriti serta jati diri dalam kalangan rakyat Malaysia. - UTUSAN ONLINE