Pelarian di Tell Mannas pula memberitahu, itu merupakan kali pertama mereka menerima sumbangan daripada organisasi luar kerana kawasan mereka merupakan antara yang sering menjadi sasaran serangan tentera rejim Bashir Al Asad dan sekutunya Russia.

Malah ketika agihan daging korban dilakukan para pelarian tersebut tidak berganjak walaupun pesawat tempur tentera Syria berlegar-legar di kawasan berkenaan.

Itu merupakan antara secebis rakaman penghargaan daripada pelarian Syria yang terharu dan bersyukur dengan sumbangan daripada rakyat Malaysia.

Sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, Syria Care telah melaksanakan Program Korban 7.0 untuk menyantuni para pelarian Syria di khemah-khemah pelarian yang terletak berhampiran sempadan Turki.

Bagi menjayakan misi itu, sukarelawan Syria Care telah masuk ke Syria dua hari sebelum menyambut Aidiladha bagi menguruskan urusan penyembelihan dan pengagihan bersama-sama dengan rakan kerjasama dari Turki dan Syria.

Dalam tempoh empat hari sambutan Aidiladha itu, sebanyak 10 ekor lembu dan 271 ekor kambing korban hasil sumbangan rakyat Malaysia telah disembelih.

Pada masa sama sebanyak 229 ekor kambing lagi sebagai sedekah sembelihan melalui Cabaran RM30 Syria Care bagi menggalakkan rakyat Malaysia menyumbang dan membantu pelarian Syria.

Daging-daging sembelihan itu diagihkan di khemah-khemah pelarian sekitar Atma, Danaa, Maarat-ul Nu'man, Tell Mannas, Ariha, Khirbet Al Joz dan pinggir bandar Aleppo.

Kini Syria Care sedang berusaha mengumpul dana bagi menghulurkan bantuan musim sejuk kepada para pelarian.

Antara keperluan utama mereka ialah khemah yang sesuai, selimut serta kelengkapan harian.

Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Syria Care berikut; Maybank 562106653575,

CIMB Islamic 8601894560, RHB Bank 26225000021775 dan Affin Islamic Bank 105990040004. - UTUSAN ONLINE