Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Kesatuan Kakitangan Am UPM (Kepertama), Persatuan Pegawai Akademik UPM (PPAUPM) dan Persatuan Pentadbir UPM (PPUPM), semua pihak diharap dapat menerima lantikan ini dengan hati terbuka dan memberi sokongan padu kepada pengerusi baharu bagi memimpin UPM ke aras yang lebih cemerlang.

Katanya, ucapan setinggi penghargaan turut diberikan kepada pengerusi terdahulu, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail atas jasa dan sumbangannya.

“Kami menyokong keputusan yang diambil Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dengan pelantikan berkenaan. Ini kerana tindakan Syed Razlan memberi cuti kepada Pendaftar dan Penasihat Undang-Undang (PUU) dengan serta merta dan pengusirannya dari pejabat mereka telah bercanggah dengan prinsip kebebasan serta perundangan.

“Ia juga telah menyebabkan suasana yang tidak harmoni dalam kalangan pekerja universiti serta menjejaskan reputasi pengurusan kepada pandangan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE

Habis//