Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, telah terbukti dasar itu yang diperkenalkan pada 2003 gagal mencapai matlamatnya malah mewujudkan jurang yang besar antara sekolah di bandar dan luar bandar.

Pada masa yang sama, katanya, tidak ada negara di dunia yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris yang mengajar mata pelajaran tersebut dalam bahasa tersebut.

"Perkara ini diberitahu dalam satu pertemuan antara Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tidak lama selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Menteri Pelajaran.

"Ketua Pengarah itu memberitahu bahawa tindakan Malaysia menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar mata pelajaran itu sebagai gila kerana tidak ada negara di dunia yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris yang berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sekolah Kebangsaan Taman Warisan Puteri dan Sekolah Menengah Kebangsaan Warisan Puteri, dekat sini hari ini.

Pada 28 Februari lalu, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohammad berkata, PPSMI mungkin dilaksanakan semula jika Pakatan Harapan diketuai DAP memenangi PRU-14.

Mohamad menarik perhatian, penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris masih boleh dilakukan tanpa mewajibkan pengajaran matematik dan sains dalam bahasa berkenaan.

"Kita ada contoh paling hampir iaitu bagaimana pelajar sekolah aliran Cina belajar matematik dan sains dalam bahasa ibunda mereka tetapi menguasai bahasa Inggeris dengan baik ketika melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi," katanya. - UTUSAN ONLINE