Tawaran itu dikemukakan oleh sebuah kilang pemprosesan getah, Mardec Bhd. di Tapah, Perak yang bersetuju untuk membeli susu-susu getah milik para pekebun pada harga sekali ganda.

Empat buah kampung yang bakal menerima manfaat menerusi Program Kasihi Pekebun Gerakan Peningkatan Produktiviti (GPP) terlibat adalah Kampung (Kg.) Selamat; Kg. Teloi Tua; Kg. Tupai dan Kg. Merbau Kudung.

Menurut Pengerusi Koperasi Depot Sekerap Mukim Teloi Sik Bhd., Shahidan Abdullah Hamad, menerusi tawaran membeli susu getah itu, pendapatan para pekebun kecil dijangka lebih baik pada masa depan.

"Sebelum ini, para pekebun kecil hanya menjual getah sekerap dengan harga yang rendah iaitu antara RM2.15 hingga RM2.20 setiap sekilogram. Harga susu getah yang dibeli Mardec Bhd. pula adalah lebih baik iaitu RM5.20 setiap sekilogram.

"Setakat ini hanya beberapa orang sahaja pekebun sudah mula menjual susu getah yang dikendalikan oleh koperasi ini kepada Mardec Bhd. dan memperoleh pendapatan lebih RM2,000 sebulan.

"Kita berharap semua 76 orang ahli dapat menjual susu getah supaya dapat meningkatkan pendapatan mereka," katanya sempena pelancaran pusat pengumpulan susu getah yang diwujudkan semula di negeri ini di sini, semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin; Pengarah RISDA negeri, Ramli Tumin dan Pegawai RISDA daerah Sik, Wan Yusnizar Wan Azizan.

Difahamkan, RISDA negeri memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi menaik taraf pusat pembelian susu getah itu.

Dalam pada itu, pekebun kecil, Abu Hassan Ibrahim, 67, menyambut baik langkah Mardec Bhd. membeli susu getah penduduk di kampung ini kerana boleh meningkatkan pendapatan mereka.

Azmin Che Noh, 68, berkata, dia bersama isteri, Khalijah Md. Piah, 50, kini bangun lebih awal untuk menoreh kira-kira 250 batang pokok setiap hari.

Surirumah, Rohani Don, 62, berkata, berikutan harga yang lebih baik, dia telah menoreh dan menjual susu getah di pusat pengumpulan itu sejak lima hari lalu.

Dalam pada itu, Azman berkata, beliau berharap pekebun kecil di kampung-kampung di situ, dapat meningkatkan usaha dengan keluar menoreh sejak dari awal pagi bagi meningkatkan pendapatan mereka. - UTUSAN ONLINE