Pejabat SUK Pahang memperoleh tahap prestasi sebanyak 91.92 peratus dan jabatan lain yang turut cemerlang ialah Jabatan Kerja Raya (94.07 peratus), Pejabat Daerah dan Tanah Bentong (92.68 peratus) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (91.60 peratus).

Laporan itu menyebut semakan yang dibuat terhadap 11 jabatan dan agensi di Pahang juga mendapati lima lagi memperoleh tahap baik dengan peratusan antara 81.10 peratus ke 84.66 peratus.

Dua lagi jabatan iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut memperoleh tahap memuaskan iaitu 73.77 peratus serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran yang mendapat 78.69 peratus.

“Secara keseluruhannya, prestasi pengurusan kewangan jabatan dan agensi Pahang bagi tahun 2018 berada pada tahap baik berdasarkan kepada markah keseluruhan pematuhan terhadap peraturan pengurusan kewangan,” menurut laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut masih ada beberapa jabatan atau agensi yang perlu meningkatkan dan memantapkan kawalan dalaman pengurusan kewangan bagi mengurangkan risiko ketidakpatuhan yang lebih serius.

Sehubungan itu, laporan berkenaan mengesyorkan supaya pengetahuan dan kemahiran pegawai dipertingkatkan secara berterusan selain penilaian dilakukan dari semasa ke semasa.

“Ketua Jabatan perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai yang telah dipastikan melakukan ketidakpatuhan serius sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan menjejaskan imej kerajaan.

“Jabatan juga disaran menjalankan penyeliaan lebih rapi terhadap kerja yang dilaksanakan pegawai bawahan yang terlibat dalam pengurusan kewangan untuk memastikan peraturan sentiasa dipatuhi serta penglibatan secara hands on dalam urusan tersebut,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga mencadangkan pelaksanaan pusingan tugas setiap lima tahun terhadap pegawai yang diberi tanggungjawab kewangan untuk memastikan tiada ruang dan peluang untuk pegawai melakukan ketidakpatuhan yang serius. - BERNAMA