Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun buat masa ini, belum ada permohonan dikemukakan oleh pihak Lynas untuk membina PDF di negeri ini.

"Minta (mohon) dahulu dan kerajaan negeri akan memberikan perhatian membabitkan aspek keselamatan. Kita akan lihat perjanjian sebelum ini dan kita tidak boleh membuat keputusan secara semborono.

"Ini kerana pelaburan kilang Lynas ini jumlahnya berbilion ringgit jadi semua aspek perlu dikaji, jika tiada masalah kepada rakyat kita akan beri kebenaran kepada rakyat," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chin Chen (DAP-Bilut) yang bertanya adakah kerajaan negeri akan meluluskan PDF di negeri ini jika Lynas membuat permohonan.

Wan Rosdy berkata, kilang Lynas juga disahkan oleh pakar bahawa ia tidak bahaya.

"Jika pakar cakap 'okey', kita hendak dengar cakap siapa lagi," katanya. - UTUSAN ONLINE