Pengurus Besar Kanan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ir. Elias Ismail berkata, hal ini dapat dilihat menerusi pembangunan projek Suria 1, Bandar Cassia di Batu Kawan oleh PDC yang menyerlahkan kualiti hasil kerja binaan yang begitu memberangsangkan.

Katanya, Sistem Penilaian Kualiti Pembinaan (Qlassic) yang dicatatkan untuk projek itu adalah sebanyak 74 peratus berban­ding purata skor keseluruhan penilaian Qlassic bagi projek-projek perumahan kerajaan dan swasta yang masing-masing sebanyak 67 dan 73 peratus.

“Berdasarkan kepada kejayaan projek itu, secara kese­luruhannya, saya melihat penggunaan Qlassic bagi projek pembinaan bangunan di negara ini meningkat secara konsisten.

“Sebagai contoh, pada 2015, sebanyak 272 penilaian Qlassic telah dilaksanakan dan jumlah itu meningkat pada tahun berikutnya kepada 311 projek dan pada tahun lepas, jumlah tersebut terus bertambah kepada 341 projek,” katanya.

Beliau berucap sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara CIDB Malaysia dan PDC dalam sektor kualiti, keselamatan dan kesihatan dalam industri serta pembinaan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Dalam majlis yang disaksikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow selaku Pengerusi PDC itu, Elias mewakili CIDB manakala PDC pula diwakili oleh Pengurus Besarnya, Datuk Rosli Jaafar.