Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin berkata, lebih 2,000 pemain industri pelancongan luar negara memberi maklum balas positif untuk menjadikan Langkawi sebagai lokasi pelancongan selepas mengadakan lawatan di sekitar pulau berkenaan.

Katanya, perkembangan positif itu dijangka dapat membantu meningkatkan jumlah pelancong ke pulau berkenaan sehingga lima juta menjelang 2020.

“Penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu mampu melonjak industri pelancongan tempatan ke tahap lebih tinggi. Tahun lalu sahaja Langkawi menerima seramai 3.6 juta pelancong dan dijangka pada tahun ini jumlah itu meningkat kepada empat juta seterusnya menepati sasaran lima juta pada 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membawa 39 delegasi dari 25 negara yang menyertai PATA Travel Mart ke Galeri Diraja Arau di sini, hari ini.

Rombongan tersebut disambut oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Selain menyertai santapan tengah hari bersama baginda berdua, delegasi tersebut turut dihiburkan dengan

persembahan tarian kebudayaan dan silat cekak.

Sementara itu, Azizan berharap agar pengusaha pelancongan Kedah dan Perlis dapat mengambil kesempatan dengan menawarkan pakej menarik untuk para pelancong yang menyertai rombongan itu. - UTUSAN ONLINE