Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain itu mereka juga perlu mengutamakan aspek kebersihan supaya makanan yang disumbangkan dalam keadaan selamat dimakan.

“Niat mereka (pengusaha makanan) menyumbang makanan adalah usaha murni dan baik, namun mereka perlu memastikan lebihan makanan itu berada dalam selamat serta tidak tercemar.

“Jadi tolong berhati-hati dalam mengendalikan makanan dan pastikan aspek kebersihan diutamakan,”katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis sumbangan raya AEON dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Pasaraya AEON, di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden seramai 40 penuntut Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR ) di Alor Setar, Kedah yang mengalami keracunan makanan selepas memakan makanan yang disumbangkan sebuah restoran Arab baru-baru ini.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kejadian keracuan makanan di Alor Setar itu tidak mempunyai kaitan dengan program Food Bank yang diusahakan pihaknya.

“Sejak mula diperkenalkan pada 2017 sehingga kini, Food Bank melalui proses pemilihan lebihan makanan dan tapisan yang sangat ketat.

“Disebabkan itu, program Food Bank tidak pernah menerima aduan mengenai makanan yang diterima rosak dan pada masa depan kita juga harap aduan sifar mengenai kerosakan makanan menerusi program ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE