Mereka yang berasal dari Bagan Serai, Perak, Muhammad Afiq Abdul Rahman, 22, dan abangnya, Muhammad Adib bakal mengikuti pengajian yang sama iaitu Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kepujian) Teknologi Robotik dan Automasi di Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).

Menurut Muhammad Afiq ketika ditemui berkata, antara faktor mereka berdua memilih Unimap sebagai pilihan pertama kerana mendapati kebanyakan alumni Unimap mudah memperolehi pekerjaan sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

“Kami tertarik mengikuti pengajian di Unimap ketika mengunjungi Karnival Jom Masuk U di Ipoh walaupun pada asalnya berhasrat untuk menimba pengalaman bekerja terlebih dahulu.

“Namun atas dorongan keluarga, kami memohon untuk melanjutkan pengajian bagi mencapai cita-cita sebagai jurutera dalam sektor perindustrian,” katanya.

Kedua-dua anak pasangan pesara guru dan guru itu adalah antara 1,787 orang mahasiswa Unimap yang mendaftar di kampus berkenaan dan di Pauh Putra.

Tambah Muhamad Afiq, sebelum ini mereka mengikuti pengajian diploma dari institut pengajian berbeza iaitu di Perda-Tech manakala abangnya di Politeknik Seberang Perai.

“Tidak sangka permohonan kami berjaya bagi mengikuti pengajian di Unimap, malah juga dalam bidang yang sama,” ujarnya.

Sementara itu, seorang bapa menghantar anaknya ke Unimap buat kali kedua setelah anaknya sebelum ini yang menuntut di situ memperoleh pekerjaan yang baik selepas tamat pengajian.

Norazmy Tukiran dari Ipoh Perak itu berkata, anak keduanya, Mohd. Saiful yang merupakan graduan universiti itu bukan sahaja memperolehi pekerjaan yang baik malah cemerlang sepanjang mengikuti pengajian di Unimap.

“Selepas melihat sendiri kejayaan Mohd. Saiful di Unimap, saya mendorong anak kelima, Siti Nur Anisah, untuk memohon melanjutkan pengajian di Unimap juga dan Alhamdulillah hari ini kami datang semula ke universiti ini untuk menghantarnya bagi mengikuti pengajian dalam Kejuruteraan Keusahawanan.

“Kemudahan yang terdapat di Unimap sekarang juga jauh berbeza daripada dahulu, justeru saya mengesyorkan Unimap menjadi pilihan bakal-bakal mahasiswa pada masa akan datang terutamanya yang meminati bidang kejuruteraan,” katanya.

Dia ditemui selepas Program Taklimat Waris dan Simbolik Penerimaan Siswa Baharu di Dewan Kecemerlangan, Kampus Unimap Pauh Putra yang turut dihadiri Naib Canselor, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad dan pengurusan tertinggi Unimap.

Terdahulu, Badlishah berkata, pada sidang akademik kali ini, Unimap menawarkan sebanyak 2,161 tempat dengan pecahan 1,020 orang lelaki dan 1,141 orang perempuan bagi mengikuti pengajian di 11 pusat pengajian di universiti itu.

Katanya, antara faktor Unimap kini menjadi pilihan mahasiswa adalah kerana kebolehpasaran graduan universiti adalah antara yang tertinggi iaitu mencecah 80 peratus pada Istiadat Konvokesyen tahun lalu. - UTUSAN ONLINE