Walaupun sudah lama zaman kanak-kanaknya berlalu sejak penglihatannya diragut akibat demam panas, namun keinginan Esah yang kini berusia 72 tahun untuk mengerjakan haji tidak pernah padam.

Justeru, apabila dibawa memasuki Masjidilharam dan ke Kaabah untuk tawaf bersama-sama suaminya, Abd. Aziz Yusof, 73, yang juga buta, perasaan sayu dan terharu menyelubungi warga emas itu kerana tidak menyangka dipilih sebagai dhuyufurrahman.

“Semasa umur tujuh tahun saya sempat bersekolah biasa selama tiga bulan. Saya masih ingat warna-warna dan simpan di dalam ingatan.

“Arwah emak juga ada beli gambar Masjidilharam dan Masjid Nabawi untuk dibingkaikan, saya ada tengok dan ingat sampai sekarang. Tapi sekarang Masjidilharam mungkin sudah cantik berbanding dulu,” katanya ketika ditemui di Maktab 77, Mwsem Al Sud di sini.

Pasangan buta dari Terengganu itu yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 42 tahun, mengerjakan umrah pertama mereka dengan berkerusi roda yang diuruskan oleh pihak maktab.

Esah beruntung pemergiannya ke Tanah Suci diiringi Nor Azian Mansur, 58, kenalannya sejak dua tahun lepas ketika berkursus haji di Masjid Abdul Rahman Auf, Puchong, yang akan membantu pergerakannya sepanjang di sini.

Sementara itu, Abd. Aziz yang buta sejak berusia tiga tahun bersyukur apabila rakan sebiliknya sejak di Madinah, Jaafar Ismail, 59, sanggup membantu pergerakannya semasa di Mekah. – utusan

“Apabila sampai di Madinah dulu saya minta tolong dia bawa ke Masjid Nabawi. Sampai ke Mekah pun kami sebilik,” katanya yang pernah mengerjakan umrah bersama Esah menerusi Persatuan Orang Buta Malaysia pada 2003.

Pasangan buta itu berharap dapat mengerjakan umrah sekali atau dua kali lagi sebelum masyair haji, namun tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Sekarang kami sudah tidak larat berjalan. Semasa pergi tawaf tempoh hari terasa jauh juga dan laluan pun berbukit, rasa kasihan pula kepada orang yang tolak kerusi roda,” kata Esah yang dibantu rakannya mendaftar dengan Tabung Haji pada 2009 dan setiap kali mahu menyimpan wang dalam akaun.

Untuk rakan-rakan senasibnya yang cacat penglihatan Abd. Aziz berpesan, jika mempunyai niat untuk mengerjakan haji berusahalah sehingga hasrat tersebut tercapai.

“Kalau banyak wang pun bila mati akan ditinggalkan juga,” katanya.

Abd. Aziz dan Esah yang kini mempunyai dua cucu, diperkenalkan oleh rakan sekampung memandangkan masing-masing semasa remaja belajar di sekolah khas di Johor dan Pulau Pinang, seterusnya mendirikan rumah tangga pada Disember 1974.