Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Yahaya berkata, situasi berkenaan cukup jelas menunjukkan kecelaruan dasar dan budaya pentadbiran negara yang tidak sihat.

“Di peringkat pusat, DAP menyerang dan mendesak supaya (Zakir) dihantar balik, namun satu pihak lain di dalam pakatan yang sama mempertahankan beliau.

“Justeru itu, Pas Kedah mencabar Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar dan Agama negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh agar tunjukkan apakah kerosakan yang dibawa oleh Zakir sehingga dihalang (mengadakan ceramah) kononnya menjaga keharmonian kaum,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Dr. Ismail berkata, pihaknya mengambil langkah sama dengan Perlis tidak membenarkan Zakir mengadakan ceramah di negeri ini susulan kontroversi melibatkan pendakwah berkenaan, namun beliau dibenarkan mengunjungi Kedah.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Mohd. Firdaus Ahmad pula berkata, tiada masalah membenarkan Zakir mengadakan ceramah selagi tidak menjurus kepada unsur sensitiviti pelbagai kaum.

Menurut Mohd. Firdaus, sekiranya ceramah Zakir hanya berkisar kepada perkongsian ilmu agama dan mendidik masyarakat berkaitan Islam, ceramah itu tidak seharusnya dihalang.

Sementara itu, Ahmad berkata, Dr. Ismail juga diingatkan agar tidak ‘mengkambing hitamkan’ tokoh terkenal itu dengan pelbagai provokasi murahan sedangkan realiti sebenar yang menimbulkan ketegangan kaum adalah hasil bawaan DAP.

“Malah, berkemungkinan besar halangan itu kerana patuh dan akur dengan kehendak parti terbabit.

“Zakir bukanlah punca tercetusnya masalah sebaliknya pemutar belit dan pemberitaan tidak betul berkaitan kenyataannya menjadikan keadaan tegang,” katanya.

Tambah beliau, keupayaan dan kebolehan Zakir sewajarnya dihargai serta dimanfaatkan oleh orang Islam khususnya di negara ini dan bukan disekat atau dinafikan kerja dakwah penceramah bebas itu. - UTUSAN ONLINE