Kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, jika Pas tidak menarik balik 'gelaran' itu maka parti tersebut juga disifatkan kafir kerana menjalinkan kerjasama dengan UMNO yang pernah dikatakan kafir dahulu.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir juga melihat kerjasama di antara kedua-dua parti yang pernah bermusuh sejak sekian lama itu tidak memberikan sebarang makna.

"Tak jadi apa (kerjasama UMNO-Pas). UMNO ini kafir, Pas kata dahulu. Apabila Pas bekerjasama dengan UMNO yang dikatakan kafir, maka Pas pun akan jadi kafir.

"Sebabnya, Pas tidak pernah menarik balik kenyataan itu... Masih ada, amanat Hadi kata UMNO kafir masih belum ditarik balik sehingga hari ini.

"Kalau Pas tidak mahu jadi kafir, buatlah satu kenyataan kata kami minta maaf kerana pernah mengatakan UMNO kafir. Tarik balik secara rasmi, barulah ada piagam," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai Piagam Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO yang bakal dimeterai pada 14 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Program yang berlangsung selama dua hari dengan kemuncaknya pada 14 September itu bakal menyaksikan kedua-dua parti akan menandatangani piagam kerjasama UMNO dan Pas oleh kedua-dua Presiden parti berkenaan yang dilihat bakal mengukuhkan blok pembangkang dengan hasrat menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam.- UTUSAN ONLINE