Pakar alam sekitar dan air, Dr. Ibrahim Ashaari berkata, dalam tempoh tersebut Sungai Kim Kim perlu ‘direhatkan’ dengan memastikan tidak ada gas beracun meluap ke udara dan air sungai ditapis sepenuhnya.

Beliau yakin Jabatan Alam Sekitar mempunyai peralatan yang diperlukan bagi mengesan pemeluapan gas beracun bagi mengelakkan orang ramai daripada terhidu serta menjejaskan kesihatan.

 

“Jika tiada lagi pemeluapan gas beracun berlaku, sekolah-sekolah boleh dibuka dan tidak perlu menunggu sehingga tempoh enam bulan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika tampil pada segmen Sembang Online di Utusan Online hari ini.

Ibrahim pernah mengajar di universiti luar negara dan tempatan mempunyai ijazah kedoktoran dari Institut Sains dan Teknologi Stuttgart, Jerman dalam bidang air dan kini merupakan Ketua Pegawai Teknologi Asian Environmental Engineering Sdn. Bhd.

Beliau turut mengingatkan penduduk setempat supaya segera mendapatkan rawatan jika berasa terjejas kesihatan seperti rasa perit di tekak dan hidung serta pening kepala kerana ia adalah tanda awal seseorang terhidu gas beracun.

Pihak berkuasa juga, kata beliau, perlu memberi maklumat yang tepat kepada orang ramai supaya mereka faham dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Beliau menyarankan orang ramai supaya tidak panik, kerana apabila terhidu gas, di dalam situasi panik, gas berkenaan akan dihidu dengan lebih banyak.

Ibrahim turut melahirkan kebimbangan kesan jangka panjang yang boleh menyebabkan kanser akibat terdedah kepada sisa toksik dan beliau menasihatkan mangsa membuat pemeriksaan kesihatan berterusan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai memainkan peranan sebagai pemantau dan mengekang sebarang perbuatan pembuangan sisa toksik dengan menjadi mata serta telinga pihak berkuasa.

Kata beliau, orang ramai perlu segera melaporkan kepada pemimpin setempat jika terdapat sebarang lori yang membawa muatan asing masuk ke kawasan mereka sebelum disalurkan maklumat kepada polis dan seterusnya bomba serta jabatan alam sekitar untuk tindakan.

Dalam pada itu, beliau turut bimbang orang ramai yang tidak bertanggungjawab turut bersekongkol dengan kilang-kilang dalam melupuskan sisa toksik secara haram demi sedikit keuntungan.