Keunikannya yang mempunyai longgokan batu hitam sepanjang 200 meter menghampar di kawasan pesisirnya menggamit kedatangan pelancong dari dalam dan luar negeri ini.

Dalam usaha untuk terus mempromosikan kawasan berkenaan, kemudahan yang terdapat di situ ditambah baik dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta yang diluluskan kerajaan.

Projek yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) itu antaranya menaik taraf medan selera di Pantai Batu Hitam, membina pelantar dari gerai menuju ke pesisir laut, membaiki tandas dan menyediakan kawasan letak kereta lebih selesa.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya berharap projek berkenaan dapat disiapkan secepat mungkin menjelang tahun depan.

"Promosi diteruskan khususnya dari segi kebersihan dan keindahan Pantai Batu Hitam. Tempat ini selalu pengunjung datang. Jika kita menjaga kebersihan serta keindahannya, kemudian kita sediakan pelbagai aktiviti maka lebih ramai yang datang.

"Kita tidak mahu berlawan dengan pantai lain, kita mencari kebitaraan sendiri. Orang kata, kalau ke Kuantan dan hendak mencari makanan laut mereka akan ke Tanjung Lumpur. Sekarang kita kata, kalau hendak bersantai, Pantai Batu Hitam adalah tempatnya," ujarnya. - UTUSAN ONLINE