Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik menjelaskan, tanggapan isu saiz perkhidmatan awam terlalu besar dengan jumlah 1.6 juta kakitangan awam dan perbandingan dibuat berdasarkan ratio di Singapura, Indonesia, Korea, China, Japan, Russia dan Britain, maka ia perlu difahami bahawa definisi dan perkiraan kakitangan awam di negara-negara itu adalah berbeza berbanding Malaysia.

"Ada kalanya mereka tidak mengambil kira sektor pendidikan, pasukan Keselamatan dan tenaga kerja Kesihatan. Sebalik berbanding Malaysia, saiz perkhidmatan awam turut mengambil kira ketiga-tiga sektor ini memiliki saiz kakitangan yang besar.

"Sekiranya ketiga-tiga sektor ini tidak diambil kira ia hanya melibatkan sejumlah 616,718 kakitangan iaitu setakat Mei 2018 ataupun nisbah 1:51 kepada rakyat Malaysia dan berdasarkan ratio itu, saiz perkhidmatan awam kita masih ideal dan tidaklah terlalu besar berbanding negara-negara yang lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Malah Md. Farid menambah, persepsi mengenai pembaziran yang berlaku hasil daripada jumlah penjawat awam yang tinggi adalah tidak betul seperti mana berdasarkan keseluruhan tulisan Yew Yin.

Katanya, pihak kerajaan giat untuk menambahbaik mutu perkhidmatan penjawat awam dengan pelbagai dasar dan inisiatif antaranya termasuklah melahirkan kepimpinan cekap dan holistik, mewujudkan kerajaan digital, perkhidmatan berasaskan insan, kejat, inovatif dan bersifat terbuka serta paling penting mewujudkan perkhidmatan awam profesional serta bebas rasuah.

"Pihak kerajaan sentiasa mendokong penuh peranan penjawat awam untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Peralihan kuasa yang berlaku dengan aman dan teratur selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 juga adalah hasil profesionalime kakitangan awam. Oleh itu sebarang tanggapan negatif terhadap perkhidmatan awam harus dinilai semula dengan lebih adil dan bertanggungjawab," tegas beliau.

Pada masa sama, Md. Farid menjelaskan, namun begitu kerajaan mengambil maklum mengenai perbelanjaan pengurusan terutama berkaitan gaji kakitangan awam yang meningkat saban tahun termasuklah mengambil inisiatif untuk mengecilkan saiz ini secara berperingkat di mana daripada 1.7 juta perjawatan yang wujud kepada hanya 1.6 juta sahaja untuk diisi.

"Selain itu, kerajaan juga telah mengambil pendekatan dasar penswastaan di mana kerajaan akan mengurangkan beban kewangan, meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembahagian sumber yang lebih cekap.

"Kerajaan juga dalam usaha untuk mengoptimumkan produktiviti penyampaian perkhidmatan dengan penggunaan teknologi terkini. Langkah-langkah ini dijangka akan dapat menjimatkan perbelanjaan emolumen sehingga RM 1.9 billion serta penjimatan sebanyak RM490 juta bagi bayaran pencen kakitangan awam," ujar beliau.

Berkaitan ketidakseimbangan kaum dalam pelantikan sektor awam, beliau berkata, harus difahami bahawa pelantikan ke dalam perrkhidmatan awam perlu melalui proses permohonan, temu duga dan pelantikan dengan semua proses ini dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan pihak berkuasa melantik lain dengan berdasarkan merit dan tidak sama sekali berdasarkan kaum atau bangsa dengan sentiasa membuka peluang kepada semua rakyat untuk memohon.

"Cuma berdasarkan kepada jumlah permohonan, sambutan dalam kalangan bukan bumiputera agak kurang memberangsangkan berbanding kumpulan bumiputera. Namun usaha akan terus dijalankan agar dapat menarik minat mereka untuk menyertai perkhidmatan awam di samping rusan pelantikan ini akan terus dijalankan dengan telus dan adil," katanya.-UTUSAN ONLINE