Notis pelaksanaan SST itu telah dipasang di beberapa kawasan sekitar Putrajaya termasuk di Jalan Diplomatik dekat Presint 15 di sini.

Menurut notis berkenaan, pelaksanaan SST adalah susulan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 yang telah diluluskan Parlimen pada 20 Ogos 2018.

Ketika ini kadar pakir di kawasan kelolaan PPj ialah 50 sen sejam antara 8 pagi hingga enam petang pada hari Isnin hingga Jumaat. Hari Sabtu, Ahad dan  kelepasan am adalah percuma.

Ini bermakna, mulai esok pengguna perlu membayar tambahan tiga sen bagi setiap jam mereka meletak kenderaan di kawasan pakir kelolaan PPj.

Sementara itu, rata-rata orang ramai yang ditemui menyifatkan tindakan mengenakan SST bagi kawasan pakir PPj sebagai tidak wajar ketika rakyat berdepan dengan pelbagai kenaikan kos hidup.

Seorang penduduk di Presint 15, Mohd. Helmei Sahury, 37, menyifatkan tindakan itu bukan sahaja tidak wajar malah tidak perlu dilaksanakan kerana akan menambah beban pengguna.

"Langkah itu tidak wajar, tak perlu terus. Takkan pakir pun nak kena SST. Membebankan dan tidak sesuai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pendapat sama disuarakan oleh seorang kakitangan awam, Yanti Anuar, 38, yang menyifatkan langkah itu kurang wajar dilaksanakan dalam situasi sekarang.

" Sekarang rakyat berdepan peningkatan kos hidup akibat ekonomi yang tidak memberangsangkan.

"Kenaikan memang kecil tapi orang ramai guna pakir bukan sekali dua dan bukan sehari dua. Kalau tiap-tiap hari dan setahun kenaikan itu akan jadi besar. Kena timbang semula," katanya.

Bagi Normah Ibrahim, 39, pula, kenaikan itu walaupun kecil tetap tidak wajar kerana tidak semua orang berduit untuk membayar SST.

" Kenaikan kecil kalau dikumpulkan tetap bebankan pengguna," katanya. - UTUSAN ONLINE